Sunday, December 23, 2012

#894: BAYI DIPERCAYAI MATI DIDERA SEBELUM DIBAKAR (terkini)



Jumaat lalu (21 Dis 2012), sedang elok aku bersenang lenang di rumah, aku menerima satu panggilan telefon.

Panggilan itu aku terima tepat jam 5.20 petang.

"Bro mari datang ke Bukit Chagar, ada bayi mati kena bakar. Kurang ajar siapa yang buat ni," kata kawan aku dengan nada yang sangat marah.

Bukan mudah untuk sentiasa dalam keadaan siap sedia apabila berlaku kejadian seperti ini. Ya, aku sudah terlatih untuk siap dalam tempoh beberapa minit dan juga memandu laju bagi memastikan cepat tiba di crime scene.

Dan seperti lazimnya, aku bergegas ke tempat kejadian, di Jalan Salleh, Taman Ungku Aziz dan berlegar dalam kepala, gambaran bayi yang dibakar.

Ketika rakan aku menyebut crime scene di Jalan Salleh, aku berkali kali bertanya, lokasi tepat atau landmark bagi memudahkan aku memandu ke sana apatah lagi Bukit Chagar tidak wujud lagi. Waktu panggilan dibuat adalah waktu kemuncak warga Johor Bahru pulang ke rumah dan pastinya aku mesti merancang perjalanan agar tak tersekat di kesesakan.

Rupanya, Jalan Salleh adalah jalan susur masuk ke Flat Bukit Chagar, kawasan perumahan empat blok 16 tingkat yang dimiliki Kerajaan Johor. Ia dibina bagi menempatkan warga Johor berpendapatan rendah dan mula didiami pada 1983.


Foto asal: http://tokrimau.blogspot.com/2006/02/tangga-flat-bukit-chagar.html


Mei 2008, flat ini bagaimanapun mula dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar dan JB Sentral.

Petunjuk: Lokasi di mana mayat bayi ditemui.

Aku tiba di tempat kejadian 15minit kemudian dan sudah kelihatan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibupejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan dan Ibupejabat Polis Kontinjen Johor sudah berada di situ memeriksa mayat serta melakukan crime scene investigation.


Turut berada di tempat kejadian, sepasukan pegawai dan anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia. 


Hakikatnya, aku kerap ke lokasi jenayah seumpama ini namun tak menyangka bakal menerima satu lagi kisah menyayat hati selepas kes Dirang dan Nur Rahayu yang keduanya, dibunuh dan dibakar. 

Kes Nur Rahayu antara yang mendapat liputan meluas apabila gadis 16 tahun itu dibunuh, dikerat dan dibakar di dua lokasi berasingan di Masai pada 18 Jun tahun lalu.

Suspek utama kes pembunuhan Nur Rahayu, D. Kalaisevan, 46, seorang pengawal keselamatan dijangka akan mengetahui nasibnya pada 26 Disember ini apabila Mahkamah Tinggi Johor Bahru membuat keputusan akhir kes pembelaan. 

Tertuduh bakal mengetahui nasibnya sama ada dijatuhkan hukuman gantung mandatori atau tidak mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Manakala kes Dirang masih lagi dalam perbicaraan.

Setengah jam berada di lokasi kejadian, sebuah kereta peronda membawa sepasukan pakar patologi Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk membantu melakukan siasatan ke atas mayat yang ditemui.


Menurut seorang saksi, Mohd Akbar Mohd Shah, 41, dia dihubungi abangnya yang terjumpa satu objek seperti anak patung namun terdetik ia kemungkinan mayat seorang kanak-kanak.

"Lebih kurang pukul 4 petang tadi, abang saya jumpa satu objek, dia ingatkan anak patung tapi dia macam rasa mayat budak. Dia telefon saya suruh saya datang tengok. Saya datang check. Saya tengok ini mayat budak kena bakar, saya rasa umur dalam setahun setengah tapi tak tahu bangsa apa sebab dah hangus badan budak tu," katanya.

Mohd Akbar turut terkejut dengan penemuan itu malah menganggap ia perbuatan paling kejam dan tidak berperikemanusiaan.



Ketika ditemui, perut bayi ini sudah terburai dipercayai akibat dibakar.

Aku sempat menemui Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Abdul Samad Salleh di tempat kejadian untuk mendapatkan maklumat sahih serta pengesahan kes.

"Kami menemui mayat seorang bayi dan mendapati 80 peratus badannya sudah terbakar. Di tempat kejadian, siasatan dilakukan unit forensik dan dibantu pakar patologi Hospital Sultanah Aminah. Kami mengesahkan bayi yang ditemui adalah bayi perempuan dan berusia dalam lingkungan setahun.

 
"Pihak patologi mengesahkan bayi ini sudah mati lebih 12 jam sebelum ditemui orang awam kira-kira jam 4 petang tadi. Bangsa kami masih tak pasti dan masih menyiasat," katanya kepada media.


Bayi ini dipercayai dibunuh sebelum dibakar secara kejam di kawasan bekas Flat Bukit Chagar ini.

Polis juga percaya bayi itu mati akibat didera berikutan penemuan beberapa kesan lebam sebelum mayatnya cuba dilupuskan dengan dibakar menggunakan minyak dipercayai petrol.

Polis turut menemui kesan minyak dipercayai petrol di tempat kejadian serta plastik yang dipercayai digunakan untuk membungkus bayi tidak berdosa ini.

Polis sudah menubuhkan satu pasukan khas bagi mencari dalang yang melakukan perbuatan zalim ini. 

Aku sangat yakin dengan kemampuan Polis Johor beriringan doa kita semua, aku yakin manusia yang lebih hina dari iblis ini akan dicekup secepat mungkin.


Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk bedah siasat. 


Polis mengklasifikasikan kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Polis Johor di talian 07-2212999.

Setakat ini, siasatan awal polis mengenepikan kemungkinan bayi ini mangsa culik atau dilaporkan hilang.

Sejak aku melihat foto bayi ini tanpa dikaburkan, ia menyentap hati aku. Apalah dosa si kecil ini. Apalah kesalahan si kecil ini hingga diperlakukan bagai tiada nilai nyawanya?

Sesungguhnya, aku sedih. Aku sangat sedih. Manusia sudah tiada pegangan kemanusiaan, agama dan bertamadun.

Hidup aku dikelilingi kanak-kanak. Aku melihat mereka bagai kain putih. Mereka menangis kerana itulah natijah kehidupan mereka, sama seperti kita tika awal meniti kehidupan.

Sepanjang aku berada di tempat kejadian, berulang-ulang kali aku berfikir, bagaimana agaknya tangisan terakhir si kecil ini. Apakah yang sempat dijamah di kecil ini sebelum diperlakukan seperti ini. 

Mungkin tidak ketara di dalam foto yang disiarkan tetapi bayi ini masih lagi memakai lampin ketika ditemui. 

Aku sangat sedih. Sekalipun aku menangis untuk bayi ini, aku menangis kerana tak mampu memikirkan apakah tangisan terakhir si kecil tak berdosa ini. Sebesar mana dosa dia?

Ya Allah, aku memohon kepadaMu Ya Allah, temukanlah kepada kami si pemungkir janji, si pembunuh ini agar dapat diberikan keadilan sewajarnya di dunia.

Aku masih bersedih. Nyawa si kecil yang kita semua masih tak tahu akan namanya, sudah berakhir. Apakah nama kamu? 

Bantulah polis. Lihatlah sekeliling kamu. Mungkin, mungkin jika sudah tak kelihatan akan kanak-kanak sekecil setahun dan timbul keraguan dalam dirimu, hubungi polis segera. Biarlah si pembunuh dihadapkan ke muka pengadilan segera. Kita semua tentu tak sanggup memikirkan si kecil ini tidak diberi haknya yang tinggal tak seberapa ini. Sekurang-kurangnya biarlah tahu akan namanya, agar kita dapat berdoa untuk si kecil ini.

Updated at 13:59, 23 Dec 2012:

Polis Johor sebentar tadi mengesahkan punca kematian bayi yang ditemui sudah tak bernyawa dan dibakar Jumaat lalu, akibat DIBUNUH.

Ini berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan Unit Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru ke atas mayat bayi itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Abdul Samad Salleh ketika dihubungi sebentar tadi, mengesahkan laporan bedah siasat itu.

"Mengikut laporan bedah siasat yang siap semalam, bayi itu mati akibat patah tulang belakang kesan dari hentakan kuat di bahagian dada mangsa.

"Bedah siasat itu turut menemui banyak kesan lebam dipercayai dipukul di bahagian muka dan badan bayi itu," katanya.

Polis masih lagi buntu untuk mengenalpasti identiti mangsa kerana tiada laporan mengenai kehilangan kanak-kanak pada usia itu diterima pihak berkuasa itu.

"Justeru kita mohon pada masyarakat mahupun saudara mara kepada bayi ini untuk tampil memberi maklumat kepada kita supaya mangsa mendapat keadilan sewajarnya dan pembunuhnya diheret ke muka pengadilan," katanya.

Abdul Samad meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Pegawai Penyiasat kes, ASP Idris Sith di talian 07-223 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran atau RakanCop Polis Johor: 07-2212999.

Sekali lagi berikut talian untuk dihubungi:

Pegawai Penyiasat kes, ASP Idris Sith  : 07-223 2222

RakanCop Polis Johor  : 07-2212 999





15 comments:

♛ LORD ZARA 札拉 ♛ said...

Walaupun saya tengok dalam blog Encik pun dah rasa ngeri, entah macam mana agaknya perasaan Encik yang tengok tanpa dikaburkan - yang tengok sendiri di tempat kejadian.

Sigh.

Manusia kebelakangan ini lebih kejam daripada haiwan. Sekurang-kurangnya haiwan kalau kejam atau ganas adalah demi kesinambungan hidup mereka, melindungi diri daripada pemangsa, tapi bakar bayi ni, apalah dosa si kecil yang baru berusia setahun lebih ni?

Moga siapa pun yang terlibat dengan perkara ini, diheret ke muka pengadilan. Boleh kita semua tengok siapa yang tiada hati perut dengan ni semua.

Soalan :
Encik, ada orang kata perkara begini biasanya timbul akibat banyak cerita jenayah di Internet, media dan sebagainya. Pada pendapat Encik sendiri?

Terima kasih.

Hazrey said...

Zara,
Manusia diberi akal. Manusia diberikan keistimewaan untuk membuat pertimbangan mana yang baik, mana yang tidak baik.

Jawapan itu juga harus ditujukan kepada pembikin filem. Manakala untuk di internet dan media, kita seharusnya ada self censorship dan mengambil iktibar dari apa yang berlaku.

Manakala filem pula, lihatlah cara mereka memaparkan gangsterisme. Lihatlah cara mereka memaparkan betapa hebatnya membunuh, memukul orang dengan sedikitnya di penghujung filem itu, "ohh dia balik ke pangkal jalan."


omerta said...

Lokasi kejadian adalah betul2 berhadapan rumah ibu mertua saya tp dihalang oleh semak samun..
Tiada tanda2 yg mencurigai pd hari tersebut..
Kami amat yakin kejadian ini berlaku pada waktu awal pagi..
Wallahualam...

ejaMaria said...

T_T

speechless...
Al-Fatihah... tak kira la agama apa pun untuk bayi itu... :(

Simply Siti said...

astarfirullah al azim...

YA Allah, kejam nye manusia sekarang..apa yang difikir pembunuh sampai dia sanggup buat benda ni.. kita ni terlanggar kucing pun akan rasa bersalah yang amat sangat...Ya Allah...

azzpinky said...

Ya rabbi...sedihnya...

Saya jugak punya anak lebih kurang seusia arwah...terasa nk balik berlari ke rumah babysitter sekarang jugak, peluk anak saya...ngilu terasa di hati bila ada org sanggup perlakukan begini pada insan kerdil itu...

Syurgalah tmpt arwah...

Audra Sazreena said...

Saya tengok gambar anak ini yang tak dikaburkan semalam. Speechless.

Memang sipelaku ni tak tau dah nak kata spesis apa. Semoga dia dapat ditangkap dan dihukum seberat-beratnya.

Zoe said...

kenapalah anak kecil yang tidak berdosa diperlakukan seperti ini.
semoga pembunuh tu dapat balasan setimpal

speedrider said...

kalau tak mahu sekali pun anak itu, berilah pada mereka yang mahu.

Linda October said...

Mengalir air mata bila baca artikel dan tgk pic yg dikaburkan. Teringat anak saya berumur setahun 11 bulan di rumah. Mati hidup balik pun saya tak akan buat perkara sedajal itu pada anak sendiri maupun anak org lain.

arLene said...

sedih. rasa sebak dada. nak telan air liur pun rasa perit tekak. kanak2 tak kira apa bangsa pun memang syurgalah tempatnya. nabi ibrahim a.s akan mendidik dan malaikat akan memelihara mereka.

norhidana miswan said...

makin ramai haiwan yg bertopengkan manusia kt dunia nih ye, kalu bayi berumur setahun lebih tu mcm anak dana, tak dpt bayangkan apa lah anak sebesar tu blh buat sampai perlu di bunuh...

Zu Ismail said...

kejamnyer manusia.. simpang jauh jadi begitu dikalangan ahli keluarga...

NenetPenne (NP) said...

mengucap bila tengok gambar tu...
tak boleh nak bayangkan cemana baby tu disaat akhir dia...
budak kecil mcm tu dianiaya sampai teruk sekali..apalah dosa dia...
tapi yang pasti, syurga lah tempatnya..

ellyzack said...

any update pasal kes ni? dah jumpa parents?

DISCLAIMER FOR THE IDIOTS.

Dear idiots and faggots, if you think you can win a fight over internet, you are at the right place. Altho, I am NOT writing to represent any of my employers, you may at any time throw your tantrum here and be willingly ready to be eaten by us. If you know the law better, leave defamation comments because I am not gonna be fucking responsible of your acts here. If you feel offended of my writings, you are a faggot. And you listen to Justin Bieber rite? Ok, you are a faggot.