Saturday, June 29, 2013

#908 : PEMBUNUH DIRANG KE TALI GANTUNG.



Selepas setahun berlalu. Setelah setahun menanti, Mahkamah Tinggi Johor Bahru semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang buruh, Muidin Maidin, 26, selepas didapati bersalah membunuh Nurul Nadirah Abdullah, ketika itu berusia 5 tahun, Mac tahun lalu.


Tatap wajah Nurul Nadirah Abdullah ini. Tataplah dia lama lama. Adakah dia tersenyum tika diperlakukan secara zalim oleh pembunuhnya? Apatah lagi keadaan mayatnya ditemui dibakar? Hanya selepas lapan hari mencari, Nurul Nadirah atau Dirang ditemui tetapi sudah tidak bernyawa?

Tempat mayat Dirang ditemui sudah tak bernyawa dan dibakar.

Sedikit rentetan akan kisah kehilangan Dirang yang meninggalkan pada kita resah, gelisah, amarah tak terucap. Apatah lagi melihatkan wajah di kecil tanpa dosa ini diperlakukan begitu zalim sekali, tanpa rasa belas kasihan.

Berikut adalah antara rakaman dan temuramah yang pernah aku lakukan sejak mula membuat liputan mengenai adik kecil ini.






Semalam, seawal jam 9.25 pagi, ibu Dirang, Roselyn Alan sudah tiba di perkarangan bangunan Mahkamah Tinggi Johor Bahru ditemani bapa tiri Dirang. Layu langkah Roselyn. Di benaknya, pasti menghitung apakah kesudahan kematian anak kesayangannya itu. Apakah nanti terbela akan kematiannya?

Abang kandung Dirang, Hafis kini berusia 7 tahun di sebelah ibunya, Roselyn Alan. Nenek Dirang, Milnah Jul, 57, sentiasa menemani kedua mereka di mahkamah.

Jika ingatan aku masih tak lekang, teringat rengekan Hafis mencari Dirang dan kadangkala menangis apabila sahutan nama Dirang tidak berbalas. Aku sendiri hampir menitis airmata pada ketika itu mendengarkan rengekan Hafis.

Hafis teman sepermainan Dirang. Bergurau, bersenda bersama. Kadangkala bertengkaran tapi itu adat beradik. Sayang tetap utuh dalam naluri keduanya. Biskut sekeping mahu dikongsi dengan si adik, begitu juga si adik, tak mahu berhabisan kalau tak dikongsi dengan abangnya. 

Tapi itu semua tinggal kenangan. Lama Hafis terucap nama Dirang dalam tidurnya. Terbangkit mencari cari si adik. 

Kelihatan dalam foto, Hafis masih lagi kehairan mengapa adiknya dimasukkan ke dalam liang lahad dan dikambuskan tanahnya. 

Ketika pengebumian Dirang pada 14 Mac tahun lalu, aku berada di situ. Sesungguhnya, bukanlah aku seorang manusia jika tak terpilu melihat si ayah, si ibu berterusan menitiskan airmata teresak esak. Biarpun selama ini sudah berpuluh, mungkin beratus jenazah sudah kulihat, tetapi yang ini, yang ini terlalu mengguris hati.

Hafis ketika kematian adiknya masih lagi terpinga pinga mencari. Si kecil itu tak mengerti langsung mengapa Dirang tiada. Cukup melihat wajah kosong si abang ini, menceritakan betapa dia rindukan teman gurauannya.

Foto ketika Hafis di mahkamah menemani ibunya semalam. Tampak cekal si kecil ini. Mudahan Allah SWT sentiasa tabahkan hatinya, jadikan dia seorang anak yang beriman dan bakal memimpin ibunya ke Firdausi nanti.

Tepat jam 10.30 pagi, satu-satunya tertuduh kes pembunuhan Dirang, Muidin Maidin dibawa keluar dari lokap diiringi dua anggota polis. Tampak resah wajah tertuduh. Mungkin terasa berat perjalanan kali ini biarpun sudah berkali kali melalui lorong kecil dari lokap mahkamah bagi menghadiri perbicaraan.


Bergegas petugas media memetik lensa, melampiaskan cahaya kamera ke arahnya. Antara rakan media yang sudah awal tiba di mahkamah, Kosmo, RTM, Astro Awani, Berita Harian, Sin Chiew Jit Poh, Nanyang Siang Pau, Bernama.

Pendakwaan bagi Seksyen 302 Kanun Keseksaan tidak memberikan peluang ikat jamin maka sejak mula dituduh di mahkamah, Muidin ditahan di Penjara Kluang.

Sebelum tertuduh melangkah masuk diiring terus ke kandang orang kena tuduh, masih terdengar cakap cakap perbualan di kalangan mereka yang mengisi galeri awam. Sebaik dia menjengah melangkah masuk, suasana terus sunyi dan pandangan semua terarah kepada tertuduh.

Padat ruang duduk di galeri awam. Sebelum Yang Arif Datuk Abdul Halim Aman memasuki mahkamah, terasa suasana gelisah diselangi sekali sekali bisikan antara sesama mereka di galeri awam. 

Selain keluarga ibu Dirang, keluarga tertuduh turut hadir di mahkamah. 

Sesekali, tertuduh menoleh ke belakang. Ditolehnya kiri kanan. Mungkin ada sanak saudara yang mahu ditatap wajah mereka. Terlempar senyuman biar tak semesra lazim. Tetapi dibalas biar tawar senyumannya.

Menghadap bench hakim, di sebelah kiri sudah hadir Ketua Unit Pendakwaan Johor, Umar Saifuddin Jaafar yang dibantu Timbalan Pendakwaraya Jasmee Hameeza Jaafar yang sudah bertungkus lumus sejak 25 Februari kes mula dibicarakan di mahkamah yang sama.

Kemas berjubah, masing-masing. Sedondon jubah barisan peguam mewakili tertuduh mengikut aturan pakaian mahkamah. Sesekali, dibetulkan jubah mereka. Ini hari penentuan. Sesekali disusun kembali susunan fail yang sememangnya sudah kemas diatur di atas meja. Mungkin, mengisi keresahan. Mengganti debaran.

Loceng dibunyikan.

"Bangunnn," teriakan nada sederhana si anggota polis bertugas mengarahkan yang hadir bangkit memberi hormat kepada Yang Arif memasuki bench. 

Semua yang hadir saling menunduk hormat seiring Yang Arif yang turut berbuat demikian tanda hormat kepada mahkamah.

Sunyi. 

Pandangan semua tertumpu kepada seorang sahaja. Yang Arif membetulkan laras mikrofon di depannya. Dimulakan ia dengan lafaz Bismillah. Perlahan kerdipan mata di kalangan orang awam di galeri.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman memulakan hujah. Dibacakan satu persatu dengan suara yang jelas dan yakin. Ayat sudah disusun rapi tertulis di depannya dan sesekali mendongak melihat ke arah barisan pendakwaan, sesekali ke arah barisan peguam, sesekali ke arah tertuduh. 

Dibacakan rentetan bukti yang sudah dikemukakan melalui 35 saksi pendakwaan dan tiga orang saksi peguambela.

Tak sukar memahami hujah Yang Arif. Dengan suara beliau yang jelas dibantu sistem pembesar suara, kadangkala ada yang mengangguk angguk bagai reaksi memahami akan hujah penghakiman beliau. 

Lancar bacaan hujahnya. Lancar untuk kami di galeri awam memahaminya.

Kedengaran tegas tutur hujah Yang Arif sebelum menjatuhkan hukuman:
"Kamu adalah penjenayah paling kejam, tidak berperikemanusiaan dan tidak berhati perut. Bahaya jika dibiarkan kamu di kelompok masyarakat." 




Tertuduh hujah beliau, juga memiliki nafsu umpama binatang dan sanggup melakukan apa saja bagi memuaskan nafsunya.

"Si mati adalah insan kerdil yang tidak mengerti apa-apa namun kamu menekup mulut dan tekak hingga dia lemas dan tidak bernyawa," hujahnya lagi.

"Kamu cuba melupuskan mangsa di rumah terbengkalai, kamu fikir kamu bijak tetapi berkat solat hajat dan doa pada Allah SWT, mayatnya ditemui," katanya lagi.

Dalam hujah hampir setengah jam itu, Datuk Abdul Halim turut menyebut mengenai tindakan tertuduh mengumpan mangsa dengan gula-gula strawberi sebelum membawa mangsa ke dalam kebun kelapa sawit.

DNA kamu berada dalam anus (dubur) dan vagina (kemaluan) si mati, kata Datuk Abdul Halim dan turut menyatakan  pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap bukti itu.

Hakim Datuk Abdul Halim turut memuji pasukan khas yang ditubuhkan Polis Johor yang berjaya mengumpul bukti dan keterangan terhadap kes itu.

"Di waktu saat kehilangan Dirang pelbagai persoalan dan kekesalan timbul. Sikap setengah masyarakat tak berani, takut diapakan, tak mahu ambil tahu kerana 'yang terlibat bukan keluarga aku' patut dielakkan.

"Sudah sampai masanya masyarakat ambil tahu kalau ia mendatangkan kebaikan," hujahnya.

Katanya, kekesalan juga timbul mengapa kanak-kanak berusia empat tahun dibiarkan dan dilepaskan begitu sahaja.

"Di manakah tanggungjawab orang dewasa? Ini satu amanah. Ibu Dirang dan bapa tiri ada di rumah.

"Bapa tiri ada di rumah tak pergi ke kedai tetapi tulis atas kertas, adalah amat dikesali. Sikap bapa tiri ini memperlihatkan tak bertanggungjawab dan sambil lewa," katanya.

"Hanya satu hukuman diperuntukkan dalam Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu mati."

Yang Arif terhenti menghela nafas.Tak lama.

"Mahkamah memutuskan kamu hendaklah digantung di leher sampai mati," katanya mengakhiri penghakiman kes yang mula dibicarakan sejak 25 Februari lalu.

Tertuduh kaku. Tak sempat Yang Arif meninggalkan bench, dia sudah terduduk. Kaku. Inilah balasannya. Inilah keadilan untuk Dirang.

Ternampak ibu Dirang mengangkat kedua tangannya bagai melafaz kesyukuran. 

"Bangunnnnnnnnn," sekali lagi anggota polis bertugas meminta hormat dari yang hadir di mahkamah. 

Yang Arif bangkit meninggalkan bench.

Tampak satu kepuasan di wajah tim pendakwaan. Inilah hasilnya. Usaha yang disulam bersama bukti serta keterangan yang dikemukakan sejak mula perbicaraan. 

Seorang wanita berusia meluru ke arah tertuduh. Dipeluknya tertuduh yang masih kedengaran esakannya.

Sudah terbela kematian Dirang. Reda sedikit tangisan kami biar tak kering lagi tangisan dulu. 

Menangislah si tertuduh akan hukumannya. Tak sama tangisan rintihan si ibu, si bapa, si abang, si jiran, kami, yang membaca, yang mengetahui, yang mendengar.

Inilah keadilan untuk Dirang. 

Deras anggota polis membawa keluar empunya leher yang bakal berakhir di tali gantung. Berbeza riak wajahnya ketika dibawa masuk tak sampai setengah jam yang lalu. 

Tak sampai beberapa langkah, beriring dua anggota polis dan bergari tangannya di belakang, ditendangnya seorang jurugambar Kosmo sambil menjerit marah.

Terima kasih pegawai dan anggota polis. Terima kasih Ketua Polis Daerah Seri Alam, Terima kasih Ketua Polis Johor, Terima kasih Ketua Polis Negara. Terima kasih team pendakwaan Johor.

Janji Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff pada 12 Mac tahun lalu, memastikan penjenayah yang melakukan perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan dibawa ke muka pengadilan sudahpun ditunai dan terlaksana satu lagi sistem keadilan undang undang di negara kita.

Semuanya bersama pelbagai bukti dan keterangan. Bukan mudah tetapi tak mustahil atas nama keadilan. 

Alfatihah untukmu Nurul Nadirah Abdullah. Amanlah kau di sana. Pimpinlah ibu nanti. Maafkan dosa ibu ya adik.

Inilah ku harapkan penutupnya.

6 comments:

norinaomar said...

Syabas kepada semua yang terlibat dalama menyelesaikan kes ni..Hazrey, meremang bulu roma saya membaca artikel ni.
Pengajaran kepada semua,jangan ambil mudah.


strawberi said...

sedih sgt kisah dirang...menangis bila membayangkan keadaannya..semoga masyarakat kita mendapat pengajaran ...semoga keluarga dirang tabah
..semoga dirang tenang disana..aminn

Audra Sazreena said...

Ada tertuduh failkan rayuan? Saya teringat kes gantung macam ni ambik masa. Saya cuma berharap hukumannya masih lagi yang sama walaupun rayuan dibuat.

P/S: Teringat kes Canny Ong. Pun sama - dirogol, dibunuh dan dibakar.

Mohd Islam said...

Assalamualaikum,

Iklankan produk dan perniagaan anda di

www.produkmuslim.info

Daftar segera ia percuma

Terima kasih

ibnu marzuki al firdaus said...

adil ke bila bapak tiri + ibu kandung dirang terlepas begitu saja? patut dihukum cuai

hakim pun tak cerita pasal leka baca fb...

era NAJIB, semua carca marba :-(

Raisah @ echah said...

Allahuakbar.
kenapalah ada manusia sekejam ini....kenapalah..
apa motif manusia ini terhadap si kecil.

DISCLAIMER FOR THE IDIOTS.

Dear idiots and faggots, if you think you can win a fight over internet, you are at the right place. Altho, I am NOT writing to represent any of my employers, you may at any time throw your tantrum here and be willingly ready to be eaten by us. If you know the law better, leave defamation comments because I am not gonna be fucking responsible of your acts here. If you feel offended of my writings, you are a faggot. And you listen to Justin Bieber rite? Ok, you are a faggot.