Kisah ni kisah lapuk. Kisah yang dah tak diambil pusing, tak diambil serius oleh memana pihak.
Lihat resit di bawah ini. Anda pasti pernah lihat.
Pix from Mazidulakmal.com
Pada tahun 2007, Mazidulakmal Sidik yang bertindak sebagai Penerbit Eksekutif program 360 memberi assignment pada aku untuk mendapatkan story mengenai kanak-kanak yang dipergunakan untuk membuat 'jualan amal' di lokasi orang ramai.
Aku berjaya menjejaki sekumpulan kanak-kanak di R&R Machap ke arah Selatan yang sedang elok berkongsi makanan bungkus sesama mereka. Perlahan-lahan aku mendekati mereka.
Aku terkejut apabila mendapati mereka berusia antara 11 tahun hingga 15 tahun.
Semuanya perempuan, bertudung dan wajah mereka tampak keletihan.
Aku yakin ramai menonton episod itu.
Jika tidak, ringkasnya, mereka diarah membuat jualan amal kepada pengguna R&R itu dari jam 8 pagi dan ketika aku berjaya menemui mereka, jam sudah melewati 10 malam.
Kita bekerja 8 jam sehari. Kita yang dewasa. Itupun kita sudah mengeluh keletihan. Pinggang sakit, mata pedih walhal dari 8jam kita bekerja, 5 jam kita dok sibuk update status facebook dan twitter.
Cerita ini adalah cerita basi. Lebih basi dari pelbagai cerita atau isu lain. Lebih basi dari minum air susu di sekolah dan sakit perut.
Kami sudah buat, Harian Metro pun sudah buat. Aku pasti paper lain buat sudah mengungkap kisah ini.
Ini catatan dari blog Mazidul pada 7 Mac 2010. Dua tahun lalu.
Untuk rekod, pada Januari 2007, Jabatan Agama Islam Kedah, JAIK mengarahkan pusat tahfiz itu ditutup kerana memaksa pelajar menjual barangan (baca: mengeksploitasi kanak-kanak) di pelbagai lokasi. Namun selepas 3 tahun pusat tahfiz tebabit masih beroperasi sehingga ke saat ini.
Kebanyakan daripada pelajar dikatakan anak yatim atau anak golongan miskin. Saya melihat kegiatan mereka menjual barangan secara terbuka selama ini menghasilkan suasana menang-menang. Pelajar berpeluang untuk belajar manakala pihak sekolah mampu beroperasi dibiayai dana dikumpul pelajar. Dilaporkan, pusat tahfiz itu tidak mendapat bantuan kewangan pihak kerajaan.
Pun begitu ada pihak berhujah, apakah kaedah diguna pusat tahfiz mengajar pelajar terbabit jika purata 3 hari seminggu mereka berada jauh dari lokasi pembelajaran? Pusat tahfiz di Kedah, mereka membuat ‘jualan amal’ di Damansara, Petaling Jaya, Selangor, contohnya. Namun majoriti pelajar ditemui mendakwa melakukan jualan terbabit secara sukarela dan kegiatan itu diketahui keluarga.
Itu kisah 2010. Lagi yang ditulis Mazidul:
Terbaharu, Jam 6.20 petang tadi saya menghubungi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pelajaran Majlis Agama Islam Kedah, MAIK Sheikh Ismi Anuar.
“Baharu-baharu ini Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM Kedah mengadakan perjumpaan dengan pihak sekolah. JKM boleh melaksanakan tindakan kerana pusat terbabit mengeksplotasi kanak-kanak. Tengoklah mungkin MAIK akan dipanggil berbincang sekali,” ujar beliau.
“Baharu-baharu ini Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM Kedah mengadakan perjumpaan dengan pihak sekolah. JKM boleh melaksanakan tindakan kerana pusat terbabit mengeksplotasi kanak-kanak. Tengoklah mungkin MAIK akan dipanggil berbincang sekali,” ujar beliau.
Yelah, mungkin JKM pelupa. Mungkin tak boleh claim overtime untuk kerja lebih sikit. Mungkinlah jugak kan. Kita tak tahu apa masalah diaorang tu. Mungkin juga takde orang nak ambik anak balik sekolah, pastu nak hantar anak mengaji.
Lagipun, aku terpikir mungkin tak ada undang-undang di Malaysia ini untuk melindungi kanak-kanak tak bersalah ini?
Malam semalam, aku memandu di sekitar Taman Perling, Johor Bahru dan ketika mengambil satu selekoh aku ternampak seorang kanak-kanak bersongkok sedang duduk di bahu jalan. Aku sangat yakin dia sedang melakukan 'jualan amal' atau mengikut terma aku, sedang diperhambakan oleh sekolah pondok yang bertopengkan pusat tahfiz.
Aku tak sempat untuk berhenti. Sampai sekarang aku masih terbayang wajah budak lelaki itu yang aku kira berusia dalam lingkungan 11 atau 12 tahun.
Cuba lihat anak anda yang berusia 11 dan 12 tahun. Lihat wajah mereka ketika mereka sedang tidur.
Lihat dalam dalam wajah mereka. Mereka tentu penat. Penat menikmati waktu kanak-kanak mereka.
Penat menikmati keselesaan di bawah bumbung tak perlu berpanas, berhujan, berdiri berjam jam, berlapar.
Mereka datang dari keluarga susah, ada pula anak yatim.
Ayah dah takde. Ibu hantar ke sekolah pondok suruh belajar. Ibu susah, terpaksa kerja.
Masuk ke sekolah, dia diperhambakan atas nama agama, atas nama sunnah.
Anak anak kita? Masih lagi dapat bermanja dengan ayah, abah.
Apa salah anak yatim ni diperhambakan? Apa salah mereka? Apa dosa mereka? Sebab ayah dah mati, mereka boleh diperlakukan begitu? Sebab ayah dah tak ada, ada lelaki dewasa yang digelar ustaz boleh pergunakan mereka?
Apa salah anak anak keluarga susah ini? Adakah mereka melakukan jualan amal ini dapat mendidik mereka hingga menjadi seorang hafiz?
Anak-anak kita bangkit dari tilam yang empuk, bantal yang lembut.
Mereka tidur di mana? Bagaimana mereka tidur? Sudahlah anak yatim, mereka diperhambakan begitu.
Anak-anak kita bangkit dari tilam yang empuk, terus memikirkan bagaimana nak habiskan hari itu dengan segala macam permainan yang sudah tersedia.
Anak yatim dan anak-anak orang susah tu semua pula memikirkan berapa banyak jualan yang dapat dibuat. Pasti mereka mahu 'ustaz' mereka gembira.
Tak apalah, mereka tu bukan anak kita kan. Tak apalah jika 'Ustaz' yang menghantar mereka ke R&R, ke stesen minyak, ke medan selera membekalkan mereka wang RM5 untuk mengisi perut sepanjang hari.
Tak apalah jika anak anak yatim, anak anak orang susah tu semua berdiri berjam jam, tika letih duduk di bahu jalan menghidu asap kereta, menghidu habuk jalan.
Tak apalah jika anak anak yatim, anak anak orang susah tu semua terpaksa memujuk dengan wajah keletihan mereka untuk memastikan barangan yang dibawa dapat dijual.
Tak apalah, beg yang digalas anak anak yatim, anak anak orang susah tu semua bukan berisi buku tetapi berisi jus berasaskan madu, air zam zam, herba dan minyak urut didakwa mampu mengubati pelbagai penyakit.
Tak apalah jika anak anak yatim dan anak anak orang susah tu semua menggalas beg berisi kitab bukan untuk mereka mentelaah tetapi untuk dijual.
Tak apalah.
Lagipun mereka belum cukup umur untuk mengundi. Mereka tak ada bebanan politik jika tidak dibantu. Tak apalah.
Tak apalah. Biarkanlah.
Harap Akta Kanak-Kanak 2001 dapat dimansuhkan dengan segera supaya pihak terbabit tak rasa bersalah sebab - tak apalah kalau tak ada akta ni, bukan selalu pakai pun, macam membazir pulak.










