Aku tahu. Masa kini banyak sungguh pengeluaran drama bermutu, berkualiti untuk hidangan hiburan kita.
Tak kira apa jua mesej, ia tetap wujud, biarpun secara sindiran namun naratif yang disampaikan tiba di pada ruang pemikiran penonton. Itu satu kemajuan dan anjakan dari kelesuan yang selalu menghantui santai tontonan kita, apatah lagi kurangnya kelahiran filem yang mampu menarik kaki kita ke panggung.
Malah, adakalanya watak yang dipaparkan lahir dari mimesis budaya kita sendiri biarpun terkadang agak tersasar seperti orang kaya mestilah duduk di tepian kolam beiringan dengan segelas fresh orange dengan kaki dikapit kemas dengan dialog bersusun-susun diselangi batuk kecil sekali sekala.
Kita perlukan evolusi pada karektor karektor ini semua dan tidak terus berada dalam ruang lingkup yang sama bagaikan karektor itu semua hanya esoterik atau hanya difahami, diketahui sebilangan kecil orang sahaja.
Kerap juga,karektor yang dibina sebagai isi diegesis drama mengempar dari zahir realiti.
Contohnya, anggota dan pegawai polis mestilah berjaket dan bertopi, dan ini naratif yang agak keterlaluan buat penonton yang sudah dihidangkan dengan pelbagai program realiti seperti 999 mahupun paparan melalui motion news.
Ia satu empirisisme yang perlu diubah. Ia boleh dianggap sebagai satu epidemik dalam karektor. Ia tidak lagi mendasari karektor sebenar apatah lagi penonton hari ini tidak lagi terkatup dengan ilmu pengetahuan.
Terbaru, kisah Atas Nama Cinta yang disiarkan jam 7 malam lakonan Shahrizal Jaszle, Fiza Halim, Tasha Shilla dan Shah Iskandar.
Semalam aku sempat menonton drama terbitan Zeel Productions Sdn Bhd ini.
Satu babak yang aku anggap kurang atau tiadanya epistemologi pada karektor yang diisi dalam babak di mana Balqish lakonan Tasha Shilla ditahan seorang lelaki dan seorang wanita berjaket dan bertopi - mungkin mahu digambarkan sebagai pegawai dan anggota polis. Mahu.
Pada babak ini, seorang lelaki dan seorang wanita bertopi dan berjaket menghampiri Balqish ketika watak lakonan Tasha Shilla itu mahu membuka pintu kereta.
Lihat pada foto, seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak menulis anggota mahupun pegawai polis. Baca seterusnya.
Wanita bertopi dan berjaket yang tidak mempunyai sebarang dialog dan berdiam diri memegang tangan Balqish sebaik dia memegang pembuka pintu, lantas dialog dilafazkan lelaki bertopi dan berjaket itu dalam nada tegas:
"Balqish binti Sulaiman, kamu ditahan dibawah Akta 322 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh Ghaz bin Sulaiman dan juga pembabitan awak dalam kes kematian Ahmad bin Yahya.."
Sedikit imbasan, Balqish pada episod lalu mengupah seseorang untuk menyuntik Ghaz bin Sulaiman ketika Ghaz berada di hospital namun diupah itu gagal lantas bergelut dengan Ahmad bin Yahya hingga membawa kematian Ahmad bin Yahya.
Yang pertama, jika diegesis yang cuba disampaikan terhadap dua watak bertopi dan berjaket ini sebagai anggota mahupun pegawai polis, ia adalah satu cubaan tawar. Sangat tawar. Dan kita lihat, watak pegawai atau anggota polis digambarkan memakai jaket dan bertopi. Tidakkah itu mengempar dari realiti? Perlukah pegawai dan anggota polis setiap masa dalam pembikinan filem mahupun drama dituntut mengenakan pakaian seumpama itu, apatah lagi pada waktu siang, tika mentari memacak terik?
Ia cahang kerana apa yang disebutkan langsung tiada dalam Kanun Keseksaan. Tidakkah itu satu insult kepada pegawai pelaksana perundangan itu? Mungkin pihak penerbitan mahukan jalan pintas, kedua watak tambahan ini tak perlu memperkenalkan diri serta menunjukkan kad kuasa dek jaket dan topi dilandaskan dengan kefahaman mereka adalah polis?
Akta 322 Kanun Keseksaan tidak pernah wujud dalam undang-undang Malaysia. Aku yakin babak itu digambarkan berlaku di Malaysia dan bukan di negara lain.
Jika tersilap sebut yang seharusnya Seksyen dan bukannya Akta, ketahuilah, Seksyen 322 Kanun Keseksaan dibaca seperti berikut:
"Dengan sengaja menyebabkan cedera parah."
'Barang siapa dengan sengaja menyebabkan cedera, jika cedera yang ia bermaksud hendak menyebabkan ata ketahui mungkin menyebabkan itu ialah cedera parah, dan jika cedera yang ia sebabkan itu ialah cedera parah, adalah dikatakan "dengan sengaja menyebabkan cedera parah".
Tetapi jika benarlah dua watak tambahan itu sebagai pegawai atau anggota polis, mereka menyebut:
"...atas cubaan membunuh Ghaz bin Sulaiman dan juga pembabitan awak dalam kes kematian Ahmad bin Yahya.."
Seharusnya pihak produksi lebih teliti dengan dialog seumpama ini kerana ia sangat jelik apatah lagi ia disiarkan pada waktu perdana dan mungkin ditonton mereka yang arif dalam bidang perundangan termasuk hakim, majistret, pegawai pendakwaraya dan peguam yang setiap hari berdepan dengan kitab perundangan sebagai rujukan kerjaya mereka.
Seksyen 307, Kanun Keseksaan menyebut Mencuba membunuh orang. Itu yang sebetulnya. Manakala kesalahan membunuh pula adalah Seksyen 300 Kanun Keseksaan di mana peruntukan hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu hukuman mati mandatori.
Bila sudah tersasar, apakah kesan kepada karektor Balqish? Balqish duduk di dalam penjara atau lokap? Apakah tuduhannya? Kenapa dia di dalam kurungan orang salah? Adakah dia dihukum penjara seumur hidup atau 10 tahun? Apa? Adakah pihak produksi mahu penonton membuat telahan sendiri akan mengapa Balqish dikurung begitu?
Jika itu benar, ia sangat meloyakan. Meloyakan dek dialog undang-undang yang sungguh tergelencong dan pasti membawa penonton yang miliki ilmu keliru.
Itu drama Atas Nama Cinta.
Tak lama dahulu, pernah diberitahu sebuah drama menceritakan akan Yang Arif Hakim di sebuah Mahkamah Tinggi masih mengenakan rambut (wig) berwarna putih.
Kisah ini dikongsi pengguna twitter: @johnnabes yang kini masih lagi berada dalam Jabatan Kehakiman kita sendiri. Beliau menyentuh mengenai drama Airmata Nur Salina yang diarah Erma Fatima dan ditayangkan pada Hari Raya kesembilan tahun lalu
.
Itu sangat lucu kerana tahukah mereka iaitu pihak penerbitan drama mahupun filem, badan kehakiman negara kita sudah meninggalkan praktis kolonial itu sejak tahun 80-an lagi.
Biarpun pakaian mahkamah merujuk kepada pakaian mahkamah Inggeris, hakim di negara kita sudah tidak lagi memakai wig, wing collars dan bands.
Sebaliknya, Yang Arif Hakim kini memakai waterfall cravat with court coat dan black silk gown.
Seharusnya, pihak penerbitan membuat kajian sungguh-sungguh agar tidak tergelencong akan prinsip sebenar dalam dunia realiti jika mahukan karya lebih terkesan dan tidak tercacat dek unsur unsur kecil dalam drama tetapi besar buat penonton yang tak cetek ilmu.
Tak salah sebelum melakukan terbitan karya, menjenguk ke mahkamah untuk melihat atau menonton apakah benar pegawai dan anggota polis negara kita sentiasa berselimut dengan jaket dan berbumbung topi? Ingat, iklim Malaysia bukan bermusim empat.
Untuk mahkamah, court attire untuk sesuatu mahkamah itu berbeza. Pemakaian blazer oleh seorang hakim hanyalah jika kes dijalankan di Mahkamah Majistret. Bermula dari Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi dan ke atas, Yang Arif Hakim memakai robe.
Jadi kalau anda nak gambarkan ianya perbicaraan utk sesuatu kes yang besar, i.e bunuh, jangan letak hakim pakai blazer.
Untuk rekod, kes bunuh hanya dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Begitu juga akan proses perbicaraan di mahkamah jika mahu digambarkan dalam karya. Jika mahu bersulamkan emosi sekalipun, buatlah kajian dan bukan hentam semacam bagai penonton semua dungu belaka dan akan menelan sahaja segala yang dijamu.
Dalam cerita Salina, berkali-kali watak yang dimainkan Umie Aida kata dia yg bunuh suami dia. Tetapi peliknya perbicaraan terus dijalankan. Sepatutnya, jika mahukan babak perbicaraan, jangan rekodkan pengakuan bersalah. Orang Kena Tuduh (OKT) patut membuat pengakuan tidak bersalah dan mahu dirinya dibicarakan.
Atau, jika mahu sentuhan emosi, OKT berdiam diri, menitiskan airmata, apabila jurubahasa membacakan pertuduhan. Dalam prosedur bicara, apabila pengakuan bersalah dibuat oleh OKT, dia akan dijatuhkan hukuman. Tiada perbicaraan. End of story.
Atau, jika mahu sentuhan emosi, OKT berdiam diri, menitiskan airmata, apabila jurubahasa membacakan pertuduhan. Dalam prosedur bicara, apabila pengakuan bersalah dibuat oleh OKT, dia akan dijatuhkan hukuman. Tiada perbicaraan. End of story.
Maka, sudah sampai masanya pihak penerbitan mendapatkan 'tukang nasihat' yang benar-benar arif dalam bidang yang ingin dipaparkan melalui karya mereka agar tidak menjadi lucu dan meloyakan dek sikap malas dan bodoh sombong mereka.
Dan tukang tukang ini perlulah diyakini latarbelakang mereka agar tidak gerenyot mulut kami menonton.












