Salam 1Malaysia Yang Berhormat Dato' Sri Liow Tiong Lai,
Terlebih dahulu, saya ucapkan jutaan penghargaan terhadap segala usaha kepimpinan Dato Sri mengemudi Kementerian Kesihatan dan banyak kenyataan kenyataan Dato Sri yang saya lihat berhasrat meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan untuk rakyat Malaysia.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato Sri kerana sudi menghantar kad ucapan Selamat Hari Raya pada saya dan keluarga tempohari.
Ya, sebagai seorang pengamal media elektronik bertugas di Johor, saya berada dalam senarai penerima Dato Sri!
Dato Sri, surat ini akan mengambil sedikit masa untuk dibaca namun saya percaya ia mewakili suara pelbagai golongan rakyat terutama yang sering menggunakan perkhidmatan kesihatan yang disediakan hospital kerajaan.
Pada 2 September lalu, Malaysia sudah menerima pujian dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana menyediakan perkhidmatan kesihatan yang mampu diakses rakyat. Tahniah kepada Dato Sri.
Sebagai rakyat yang sentiasa yakin dengan kerajaan yang sudah dipilih, peruntukan subsidi antara RM14 dan RM16 billion setahun bagi menyerap 98 peratus kos perubatan dan kesihatan bagi rakyat, ia adalah satu janji yang ditunaikan dengan baik kerajaan yang memerintah.
Melaluinya, WHO turut memuji sistem mengenakan hanya RM1 bagi mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara.
Bagaimanapun Dato Sri, kita seharusnya tidak leka dengan pujian itu, kerana pada hakikatnya banyak lagi yang perlu diperbaiki terutama dari segi perkhidmatan yang disediakan petugas petugas hospital, bagi semua peringkat.
Baru-baru ini, adik ipar saya dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru selepas didapati mengalami
jaundice (sakit kuning) dan beberapa siri pemeriksaan DIDAKWA dilakukan pihak kardiologi kerana pesakit sebelum ini melakukan pembedahan pemindahan injap jantung.
Sejak dimasukkan pada 15 Ogos 2011 ke wad berkenaan, pelbagai kesulitan terpaksa dilalui adik ipar saya yang juga seorang pegawai kerajaan.
Kesulitan ini termasuk usaha suami beliau untuk mendapatkan pengesahan tentang kondisi atau status kesihatan isterinya sukar diperolehi. Setiap kali suami pesakit cuba mendapatkan maklumat mengenai status isterinya, beliau dinafikan apabila setiap doktor menunding kepada doktor lain.
Mungkin petugas di wad kardiologi Blok Cempaka Hospital tidak tahu maksud urgency dan perlunya sifat empathy dalam diri petugas.
Hikmah disebalik semua ini, pada hari terakhir Ramadan, selepas dua minggu pesakit tidak dapat menemui anak anak dan status sebenar komplikasi yang dialaminya masih lagi tidak diketahui, suami pesakit menemui salah seorang jururawat bagi mendapatkan kebenaran membawa salah seorang anak mereka menemui pesakit pada Hari Raya Pertama.
Jururawat yang bertugas membenarkannya dengan syarat ia tidak boleh mengambil masa yang lama.
Suami pesakit bersetuju dengan syarat itu.
Sebaliknya apa yang berlaku, tidak seperti yang diizinkan sebelum ini. Lihat keratan akhbar berikut.
Sebagai seorang wartawan sejak 1994, saya sudah berdepan dengan pelbagai golongan masyarakat yang sering merungut tentang mutu khidmat petugas hospital dan ini diperkukuhkan lagi dengan insiden terbaru ini.
Timbalan Pengarah Hospital Sultanah Aminah, Dr Jamaluddin Ahmad menemui kami pada 3 September lalu bagi mencari jalan penyelesaian terhadap insiden ini namun untuk makluman Dato Sri sehingga surat ini ditulis, MASIH TIADA lagi satu jawapan rasmi yang kami terima berkaitan insiden berkenaan.
Semasa pertemuan itu yang turut disertai seorang kakitangan kanan hospital, beberapa isu dibangkitkan untuk diberi perhatian pihak hospital:
1. Kenapa status pesakit tidak diberitahu secara khusus kepada suami biarpun sudah dua minggu?
2. Kenapa jururawat yang bertugas di wad berkenaan sering menjerit jerit tehadap pelawat biarpun terdapat poster: Jangan Buat Bising?
3. Mengapa pada satu lagi admission pesakit iaitu pada bulan Julai, pesakit yang turut mengalami jaundice hanya diberikan ubat darah tinggi biarpun pesakit dan suami berkali kali mendesak untuk dilakukan pemeriksaan lebih teliti?
4. Kenapa pihak hospital membawa pelajar perubatan ke katil pesakit TANPA keizinan waris malah turut menghalau suami untuk membenarkan siri belajar dilakukan? Adakah tujuan pesakit dimasukkan ke wad itu hanya untuk tujuan eksperimen?
Manakala bagi insiden dihalang JAGA, kami hanya menganggap ia satu insiden kecil kerana apa yang lebih penting adalah pemeriksaan susulan yang lebih terperinci terhadap pesakit.
Malah, pada pertemuan itu, barulah satu sistem dibuat iaitu mengeluarkan surat kebenaran untuk membawa anak pesaki ke wad.
Mungkin secara kebetulan Dato Sri, hanya selepas insiden ini disiarkan di akhbar, barulah ada sedikit tindakan yang diambil termasuk memindahkan pesakit ke Wad Kardiotorasik HSA dan di sini, pesakit diberi rawatan yang sepatutnya dan perlu diberi penghargaan.
Malah, apa yang sangat sangat mengelirukan, HANYA pada pertemuan bersama Dr Jamaluddin itu, seorang 'so-called' pakar kardio dipanggil untuk memberikan penerangan status kesihatan pesakit.
Bagaimanapun, kami sendiri kecewa kerana kesimpulan yang diberikan pakar kardio itu hanyalah "it is a 50/50 situation" seperti tiada jalan lain selain bersedia untuk menerima hakikat bahawa pesakit tiada harapan lagi padahal apabila dipindahkan ke wad kardiotorasik, injap pesakit berjaya ditukar dan pesakit kini berada dalam keadaan stabil, malah lebih baik dari keadaannya ketika dirawat di wad kardiologi.
Dato Sri, apakah maksud rawatan murah itu turut memberi gambaran bahawa rakyat PERLU menerima dan redha - tahap rawatan juga seperti RM1? Apakah hanya selepas dipaparkan di akhbar, satu tindakan lebih baik dilakukan? Bagaimana dengan mereka yang tidak tahu bagaimana untuk mengadu dan mereka yang sudah lali dengan sikap sikap ambil mudah seperti ini?
Sesuatu perlu dilakukan Dato Sri. Apakah tahap kompentensi pakar kardiologi di wad berkenaan? Adakah mereka layak untuk membuat kesimpulan seperti itu tanpa merujuk kepada pakar lain yang turut disediakan di HSA? Atau mereka tidak tahu untuk merujuk tetapi setelah didesak ketika pertemuan itu, barulah satu tindakan dilakukan.
Satu lagi yang perlu diteliti dengan jelas Dato Sri ialah sikap petugas hospital. Sepanjang tiga minggu saya sering berulang alik ke hospital ini, saya lihat banyak kelemahan yang terpaksa ditelan rakyat yang menerima rawatan malah pada satu ketika, rakyat bagaikan mengemis untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.
Sebagai contoh, di kawasan menunggu aras satu HSA di mana wad pembedahan turut ditempatkan.
Baru-baru ini saya sendiri melihat satu insiden yang saya kira, jika dilakukan ketika musim pilihanraya, pasti ia akan memberi satu impak yang sangat tak baik. Tapi saya yakin, ketika musim pilihanraya, segalanya akan jadi indah dan baik baik belaka malah setiap aduan akan diberi perhatian berkali ganda lebih baik. Pasti Dato Sri bersetuju.
Seorang lelaki berusia dalam lewat 30-an, yang sedang menunggu saudaranya menjalani pembedahan menggunakan salah satu plug di aras itu untuk mengecas telefon bimbitnya dan bukannya smartphone yang canggih dan mahal seperti milik Dato Sri.
Di depan mata kami, seorang jururawat yang sedang menolak pesakit ke bilik pembedahan, menjerit jerit mengarahkan cas telefon bimbit itu ditanggalkan atau menerima padah dibuang!
Jika kita berfikir sebagai seorang manusia yang waras dan siuman, perlukah jururawat itu terjerit jerit?
Tidakkah ia sedikit sebanyak membantu waris pesakit jika panggilan diperlukan kepada saudara mara lain jika sesuatu berlaku ketika pembedahan?
Dato Sri tidak perlu menjawab: hospital turut menyediakan telefon awam. Tak perlu.
Tahukah Dato Sri mahupun jururawat itu, tak semua orang dapat menghafal nombor telefon yang sudah disimpan? Tidakkah mereka terfikir, mungkin waris itu semua datang dari jauh dan ada yang sanggup tidur di kerusi keras di ruang menunggu setiap malam kerana jika berlaku sesuatu tidak diingini, mereka mahu berada di sisi pesakit secepat mungkin?
Saya lihat tiada poster diletakkan bagi menghalang waris yang menunggu menggunakan kemudahan depan mata itu untuk mengecas telefon bimbit mereka. Jika telefon bimbit tidak boleh digunakan, bagaimana pula dengan petugas hospital yang saya lihat turut menggunakannya ketika bertugas?
Jawapan bahawa telefon bimbit boleh menganggu peralatan hospital, pastinya tidak dapat diterima kerana saya sendiri lihat petugas malah doktor sendiri bebas menggunakan telefon bimbit. Adakah telefon bimbit mereka diperbuat khas, berbeza dengan telefon waris waris yang menggunakan telefon murah?
RUANG MENUNGGU WARIS PESAKIT YANG MENJALANI PEMBEDAHAN
Saya agak kurang faham polisi mengenai ruang ini. Ada pembedahan kritikal yang dilakukan berjam jam lamanya dan mengambil lebih masa dari tempoh yang tercatat pada notis di pintu ruang menunggu ini. Kami sendiri menunggu sehingga jam 3 pagi ketika pembedahan dilakukan terhadap adik ipar saya.
Kenapa tidak dibenarkan keluarga pesakit yang sedang menjalani pembedahan untuk menunggu? Bukankah ia memudahkan petugas hospital untuk memanggil waris? Adakah waris pesakit akan menyalahgunakan ruang ini? Apa kata Dato Sri periksa sendiri log kamera litar tertutup di mana salah seorang pengawal keselamatan menggunakan ruang ini untuk makan.
Dato Sri perlu tahu, waris pesakit tidak akan suka suka atau berseronok untuk duduk di ruang menunggu ini pada ketika pembedahan kritikal sedang dijalankan.Mereka berada bersama waris terdekat untuk memberi sokongan pada ketika 'life threatening operation'. Bukan ke kerajaan sendiri menggalakkan masyarakat penyayang, tetapi jika di hospital sendiri tidak menggalakkannya, ia satu kempen sampah.
PENGAWAL KESELAMATAN HSAJB / GROUP FB HSAJB
Mengenai pengawal keselamatan HSAJB. Saya sendiri dimaklumkan seorang petugas hospital mengenai wujudnya satu 'group HSAJB' yang turut mencemuh adik saya kerana bertindak mengadu ke akhbar mengenai insiden itu.
Saya anggap ia adalah pendirian rasmi HSAJB kerana group itu menggunakan nama hospital berkenaan dan apa yang menarik, medium group itu digunakan untuk mencemuh waris pesakit dan bergaduh sesama sendiri.
Malah, apa yang saya lihat, berlaku pertengkaran antara doktor, petugas hospital dengan pengawal keselamatan HSAJB. Pelik.
Lihat pada screen capture ini, di mana seorang kakitangan hospital turut MENDEDAHKAN secara terbuka di mana pesakit ditempatkan.
Untuk makluman Dato Sri, group HSAJB ini disalahgunakan secara melampau, bertentangan dengan piagam pelanggan HSAJB antaranya MEMASTIKAN HAL HAL PERIBADI / PESAKIT DIPELIHARA DAN DIRAHSIAKAN.
Apabila ia sendiri diletakkan di medium terbuka seperti itu, tidak mustahil pelbagai maklumat lain boleh dipaparkan di medium ini pada masa akan datang.
Saya turut meneliti beberapa lagi 'posting' melalui group ini dan berikut adalah hasilnya:
Saya turut memeriksa profil penama di atas dan mendapati dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di HSAJB di bawah Jabatan Perdana Menteri. Adakah ia lesen untuk mencemuh waris pesakit apatah lagi ia dilakukan melalui group HSAJB yang dianggap sebagai group mewakili hospital itu?
Berikut adalah profil Asrul Naim yang bertugas sebagai PENGAWAL KESELAMATAN HSAJB.
Ya, beliau adalah bekas pelajar salah satu institusi terbaik di dunia -
Harvard University.
Saya kurang yakin seorang lepasan universiti terkemuka akan mengeluarkan kenyataan seperti ini. Apapun, saya anggap ia adalah pendirian rasmi HSAJB kerana penggunaan nama hospital berkenaan.
Yang pastinya, saya lihat group ini digunakan untuk bergaduh sesama sendiri - antara pengawal keselamatan yang saya anggap LEBIH dari perkhidmatan rahsia presiden Amerika Syarikat dan petugas hospital termasuk doktor.
Klik untuk dibesarkan.
Malah, ada cadangan group itu dipadamkan apabila ia dilihat sudah keterlaluan disalahgunakan dan dijadikan medium melepaskan kemarahan dan ia boleh dibaca oleh masyarakat. Ia dicadangkan oleh seorang kakitangan hospital yang melihat group ini dijadikan medan caci maki.
Dato Sri, saya sendiri sedih dengan penggunaan group ini sebagai medan menghentam bukan sahaja terhadap kakitangan hospital, malah pesakit mahupun waris. Adakah ia akan dibiarkan begitu sahaja? Tindakan tatatertib perlu dikenakan terhadap mereka yang disiarkan di sini kerana mendedahkan maklumat pesakit.
Diharap semua yang ditulis di atas ini akan menerima perhatian Dato Sri.
Dan setinggi penghargaan diucapkan kepada semua petugas di Wad Kardiotorasik HSA diketuai Datuk Dr Rahman Ismail, di mana kualiti perkhidmatan kesemua yang bertugas di sana bagaikan sebuah hospital swasta dan bukan di HSA.
* * * * * *
Updated:
Tepat jam 8.00 malam, Isnin 12 Sept 2011, saya menerima satu tweet dari Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Sri Liow Tiong Lai memberikan reaksi terhadap emel di atas.
Tentunya ia sesuatu yang menggembirakan, tetapi saya sempat memaklumkan kepada beliau, meminta segala usaha menambahbaik itu bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Dan diharap ia usaha berterusan. Insyaallah, kita juga tidak boleh berhenti untuk mendesak kerana kita adalah mata dan telinga buat pembuat polisi. Kita berhenti merungut tetapi kita mula melihat apa yang boleh diperbaiki dan laporkan.
Ini hanya tip of the iceberg. Kita perlu berusaha lagi untuk memastikan kualiti khidmat yang disediakan khusus untuk rakyat tidak dipandang remeh petugas walhal pihak atasan sentiasa bertungkus lumus melakukan pelbagai usaha meningkatkan kemudahan.
Ini bukan usaha saya seorang. Ini usaha semua. This will be "Roslina Campaign Against Poor Service At Govt Hospital." Ia bagi memastikan golongan tidak berkemampuan tidak dipandang remeh, dan menghapuskan stigma - bayar RM1, dapat layanan RM1. Saya perlukan sokongan anda.
Terima kasih kepada my senior, non-other
Rockybru yang turut membantu menggerakkan usaha ini dan semua yang menyokong usaha ini. Jangan berhenti setakat ini.
Terima kasih Dato Sri, dan saya ingin lihat apakah penambaikan yang dimaksudkan.