JOHOR BAHRU: “Walaupun kaki dan tangan saya diikat ke belakang, saya bersyukur selepas isteri menyahut apabila namanya dipanggil membuktikan kami tidak diapa-apakan kumpulan perompak terbabit,” kata Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan itu bersama isteri dan seorang anak perempuannya mengalami detik mencemaskan apabila rumah mereka di Taman Damansara Aliff di sini dipecah masuk sekumpulan lelaki dipercayai warga Indonesia sebelum ketiga-tiga mangsa diikat dalam bilik berasingan, kira-kira jam 5.45 pagi semalam.
Mengimbas kejadian itu, Zainuddin berkata, dia tidur seorang diri di bilik belakang kerana pulang lewat daripada bertugas dan tidak mahu mengganggu isterinya yang tidur di bilik utama manakala anaknya di bilik berasingan.
Beliau berkata, dia hanya sedar selepas seorang daripada lelaki itu mengacukan pisau ke lehernya sebelum mengarahkannya tidak membuat bising.
“Mereka mengikat kaki selain tangan saya diikat ke belakang dalam keadaan tertiarap. Selepas keadaan senyap apabila perompak itu dipercayai meninggalkan rumah, saya memanggil isteri dan mendapati dia serta anak tidak dicederakan.
“Dalam keadaan terikat, saya bergerak ke bilik belakang sebelum mendapati isteri dan anak dikumpulkan dalam satu bilik dengan tangan mereka diikat ke depan.
“Saya meminta anak saya mencari gunting untuk menggunting wayar yang mengikat saya dan menghubungi polis dan perompak terbabit melarikan pelbagai barangan berharga, selain telefon bimbit,” katanya.
Zainuddin mengakui ada hikmah di sebalik kejadian berkenaan dan mengadakan tahlil di rumahnya malam tadi.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisoner II Datuk Amer Awal, berkata perompak terbabit dipercayai memecah masuk dengan mengumpil pintu belakang rumah menggunakan pemotong besi dan pemutar skru.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan dan siasatan lanjut, polis menahan tiga lelaki berusia 20-an di sekitar bandar raya ini selepas dipercayai terbabit kejadian berkenaan.
* * * * * * *
Aku menulis kali ini bukan kerana aku rakan kepada ACP Zainuddin. Penguatkuasa undang-undang sendiri are not being spared from criminals.
Aku amat marah dengan apa yang berlaku. Aku sedih dengan apa yang berlaku pada keluarga ACP Zainuddin.
Aku minta maaf pada aktivis hak asasi, kerana aku rasa apa yang dilakukan kadang-kadang tak masuk akal. Sanggup pertaruhkan kestabilan dan keamanan negara semata-mata untuk menegakkan 'hak' seorang penjenayah. Hentikan gimik bodoh yang sentiasa dilaungkan itu.
Bagaimana pula hak mangsa?
Trauma sudah tentu menyelubungi keluarga ini.
Beliau tinggal di sebuah kejiranan yang aman damai, sehinggalah ia diragut sekumpulan penjenayah yang memecah masuk rumah beliau.
Tidak cukupkah kejadian ini untuk membuka mata kita semua?
Adakah keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran negara bukan lagi dianggap perkara terpenting yang
PERLU diberi pertimbangan wajar?
Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Dr Ahmad Zaki Ismail sendiri pernah mengungkap perkembangan di negara kita ini, apabila penjenayah sanggup dipertahankan, dan penat lelah anggota penguatkuasa untuk menurunkan kadar jenayah dipandang sepi.
"Hak asasi bagaimana yang sebenarnya yang mahu kita pertahankan? Apakah kita sudah lupa, bila penjenayah bermaharajalela kita tuding jari kepada penguat kuasa terutama polis yang kononnya tidak bekerja.
Bila penjenayah diberkas, proses membawa ke muka pengadilan bukanlah semudah menekan mesin kira 1, 2 atau 3. Dalam proses dan prosedur, mesti akan berlaku salah perkiraan.
Tetapi adilkah semua itu dilontarkan kembali tanpa kita memberi ruang dan peluang kepada mereka? Apakah hak polis lebih rendah keutamaannya daripada hak penjenayah dan tertuduh?
Mari kita kembali tumpukan perhatian kepada pokok isu utama. Ia berkaitan keselamatan dan keamanan. Hak individu hanya terjamin apabila negara dalam keadaan aman."
Lihat di Palestin, adakah hak asasi dipedulikan? Tidak. Melainkan kita ignorant.
Bayangkan anda sendiri diikat, diacukan parang yang mampu meragut nyawa? Dirompak, dirogol dan dicederakan?
Cukup dengan anak hilang, kita sebagai ibu bapa sudah menggelabah tak keruan.
Inikan pula berdepan dengan sekumpulan penjenayah.
Dan yang menjadi mangsa kali ini, adalah seorang ketua satu jabatan penguatkuasa yang menjadi harapan kita mengekalkan keamanan, bebas dari ancaman domestik dan luaran.
Pada siapa anda akan berpaling memohon pertolongan dan bantuan? Ketika anak dan keluarga anda dipukul, dicederakan dan dijadikan tebusan, kepada siapa hak asasi itu hendak anda suarakan?
Jawab sahaja soalan di atas maka para aktivis dan pejuang hak asasi yang cuba menjadi juara berkenaan boleh mendapatkan jawapan sebenar sekiranya mereka itu ikhlas tanpa agenda tersembunyi.
Bolehkah memburukkan polis dan penguat kuasa membantu kemakmuran dan kesejahteraan negara. Ganas benarkah anggota keselamatan sehingga kita terpaksa berdemonstrasi di seluruh pelusuk negara.
Berapa ramaikah mereka yang ditahan dilokap mati akibat didera? Mari kita bandingkan fakta jenayah di seluruh negara dan kira dengan dada yang lapang berapa ramai yang menjadi mangsa pembunuhan ngeri, kecederaan kekal, kerosakan harta benda, kecurian, rompakan, rogol, dadah dan seumpamanya.
Mampukah para juara demonstrasi ini menjamin keamanan dan kesejahteraan kita? Atau merekalah sebenarnya yang memuja kepada keganasan dan perkara yang bertentangan dengan undang-undang.
Pihak berkuasa, semua rakyat yang cintakan keamanan adalah majoriti yang diam. Mereka sudah muak dengan sikap mengalah yang ditunjukkan.
Mereka juga khuatir rasa hormat kepada anggota penguat kuasa telah dilucutkan sehingga ada yang sanggup meletakkan logo anjing pada lencana kemegahan itu. Sifat apakah ini? Esok, jika golongan ini menjadi mangsa, kepada siapakah akan diadu akan nasibnya? Siapakah yang diharapkan dapat menangkap penjenayah yang melakukan perbuatan zalim terhadap mereka?
Bolehkah kita nafikan lagi bahawa penghormatan, rasa takut dan gerun yang pernah ada pada anggota kerselamatan sudah semakin luntur kerana terlalu atau terlebih diplomasi.
Semboyan kembali ke medan sudah patut ditiupkan. Hidup yang diselubungi was-was tidak berasas patut dilupuskan.
Buka mata dan minda, buka telinga dan hati pada fakta dan kebenaran. Mulakan dari detik ini, jangan tunggu sehingga nasi sudah menjadi bubur dan durian sudah menjadi tempoyak.
Mudah bercakap, bergendang sekampung tentang hak asasi, tetapi tak nampak akan hakikat sebenar penjenayah zalim tak mengenal mangsa.
Ini satu cabaran buat kita, bukan lagi pada anggota polis sebagai penguatkuasa yang pagi petang siang dan malam kita cela, marah dan hina.
Anggota dan pegawai polis siang dan malam bertugas tanpa mengira masa, bersengkang mata, meninggalkan anak isteri di rumah, menjaga keamanan orang lain, dek tanggungjawab dan amanah.
Kita pula, dengan mudah menuding jari, tatkala ada individu yang memiliki agenda tersendiri untuk meraih populariti bergendang memalu tong kosong hinggakan adakalanya anggota polis sendiri bagaikan runtuh moral dan semangat untuk bekerja.
Cuba lihat kadar penyelesaian kes jenayah? Mengapa tinggi? Adakah kerana kes sudah semakin banyak? Bukan. Ini menunjukkan betapa pada ketika kita lena, nyenyak tidur dibuai mimpi, ada anggota yang masih meronda, memastikan keselamatan rakyat terjamin. Dan penjenayah berjaya dicekup.
Berhempas pulas tanpa mengira waktu, memastikan kawasan kejiranan bebas dari anasir negatif. Memeriksa mereka yang mencurigakan. Membuat pemeriksaan di jalanraya secara berkala.
Dan semua itu dilakukan demi memastikan keamanan, hinggakan ACP Zainuddin sendiri menjadi mangsa, kerana sebagai orang nombor satu crime buster di Johor Bahru Selatan, keselamatan penduduk di seluruh Johor Bahru menjadi his top priority dari keselamatan dirinya sendiri. Dan keluarganya turut sama terpaksa hidup dengan trauma ini.
Pernah kah, antara kita, apabila membaca akhbar tentang kejayaan polis, berbisik pada diri kita: Alhamdulillah, dapat ditangkap akan penjenayah samun. Alhamdulillah, terima kasih pada anggota polis yang tak henti henti membanteras anasir ini, hingga kita tidak menjadi mangsa. Alhamdulillah, polis dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah, dapat menyelamatkan anak anak aku dari terdedah dari itu semua.
Pernahkah, dalam hidup kita menulis kepada pegawai polis apabila terlihatkan kejayaan itu, dan mengucapkan secebis tahniah buat usaha mereka itu? Memang itu kerja mereka, tetapi keterlaluan ke kalau kita mengucapkan tahniah kepada mereka? Apa bebanan kita untuk berbuat demikian? Kita tak rasa perlu, sebab kita sentiasa ucapkan pada diri kita, oh itu memang kerja mereka.
Tapi tidak, pada kita komplen, hentam, hina dan cerca mereka siang dan malam dan rasa tidak puashati sentiasa tak lekang dari mulut dan fikiran kita.
Pantang salah sikit. Kita mudah terpengaruh dengan agenda dan polemik sesetengah individu yang hendakkan populariti di media.
Setiap kali aku membuat liputan kejayaan polis, aku pasti tersenyum bangga. Kita memiliki pegawai dan anggota yang dedicated untuk memastikan negara ini terus aman dan sejahtera untuk aku dan keluarga aku tinggal.
Aku pasti akan mengucapkan tahniah kepada mereka kerana itu sahaja yang aku mampu lakukan. Aku pasti, ia cuma selingkar kenangan kecil buat mereka dari ucapan itu, dan sambil itu aku mendoakan akan kesejahteraan mereka juga, bersama keluarga mereka.
Tetapi apabila aku membuat liputan kejadian jenayah, aku menjadi marah. Aku dapat lihat sendiri akan derita mangsa, sengsara mereka, trauma mereka. Apatah lagi jika ada ahli keluarga mereka dibunuh bagai nyawa tidak bernilai. Dan sememangnya itulah penjenayah. Nyawa tiada nilai buat mereka.
Jangan hanya melihat that black dots. Lihatlah kepada kejayaan polis. Bukalah mata akan usaha mereka. Bukakan minda. Bolehkah anda berjalan, berkelah, menonton wayang, jika tidak kerana usaha pihak polis yang tak putus asa?
Sememangnya, in an organisation memang ada kambing hitam. Tetapi bukan semua. Hanya segelintir dan mereka ini pastinya turut dihukum. Bagaimana pula yang lain, yang menunaikan amanah mereka penuh dedikasi?
Pernahkah terlintas dalam fikiran kita, apabila kita melihat seorang anggota polis trafik berdiri di bawah panas terik, membantu kita tiba ke destinasi? Pernahkah terfikir pakaian mereka ini cukup untuk mengekang kepanasan ini semua? Sememangnya itu tugas mereka, tetapi pernahkah kita menghargainya? Kita hanya berlalu pergi mengejar apa yang kita kejarkan. Dan mereka tetap berada di situ untuk membantu kita terus mengejar.
Sudah sampai masanya. Sudah tiba kita di penghujung. Sudah noktah. Ini bukan lagi tanggungjawab polis semata mata. Ini tanggungjawab kita. Apakah tanggungjawab itu?
Kita perlu kembalikan keyakinan dan hargai apa yang dilakukan. Jangan pedulikan gimik yang dilemparkan sesetengah individu. Bangkit dan bantah mereka.
Tanyalah pada diri kita, adakah kita sanggup menggadaikan keamanan dan keselamatan keluarga kita?
Lihat wajah anak anak anda, adik kecil anda pada tatkala mereka nyenyak tidur. Lihat dan tanya diri anda sendiri, mahukah anda melihat mereka diikat, diacu parang di leher?
Lihat wajah uzur ibubapa kita. Lihat dan tenung betul betul. Bayangkan parang tajam diletak di leher kedua mereka.
Melainkan anda seorang yang tidak mempunyai perasaan, anda boleh terus menghentam anggota dan pegawai polis. Teruskan. Moga Allah SWT memaafkan kamu.